Tag Archives: tazkirah

Tazkirah Ramadhan 3: Pesan roh kepada manusia

Tazkirah ini dipetik daripada sesi tazkirah harian sempena Ramadhan di
Al Rajhi Bank pada 1 September 2009 / 11 Ramadhan 1430H


Pesan Roh Kepada Manusia

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : “Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut”. Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : “Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh”.

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :”Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh” . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : “Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian Menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya” . Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: ” Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku”. “Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku”. “Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku”.

Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: “Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku”.

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
“Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S. “Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelahkiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: “Tidak ada jalan bagimu mencabut rohorang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T.” Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada AllahS.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain.” Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S..W.T . maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dariarah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.” Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan enghadiri majlis-majli! s ilmu.” Apabila gagal malaikat maut,mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir.” Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja
he
ndak menghampiri mata maka berkata mata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah.” Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud:”Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu.” Sebaik saja mendapat perintah AllahS.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan AsmaAllah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada AllahS.W.T maka keluarl! ah roh tersebut dari arah m ulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: “Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin,mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.”

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Sekian untuk ingatan kita bersama.

Tazkirah Ramadhan 2: Taqwa

Tazkirah ini dipetik daripada sesi tazkirah harian sempena Ramadhan di
Al Rajhi Bank
pada 26 Ogos 2009 / 5 Ramadhan 1430H

Saidina Ali ra mentakrifkan taqwa dengan empat perkara:

1. Takut kepada Allah Rabbul Jalil
2. Beramal dengan wahyu yang diturunkan
3. Redha dengan sedikit yang dimiliki
4. Bersedia untuk hari kematian.

Taqwa boleh juga diterjemahkan kepada takut akan neraka Allah taala. Dengan rasa takut inilah maka kita memilih untuk mencari jalan ke rahmat dan syurga Ilahi, bukan apinya yang menyala-nyala.

Berikut merupakan berapa persoalan fiqh yang dibincangkan semalam:
1. Bagi pesakit dan orang yang bermusafir, mereka dibenarkan berbuka dan digantikan pada bulan lain
2. Bagi orang tua yang tak mampu berpuasa, mesti membayar fidyah sebagai ganti. Satu hari bersamaan satu fidyah
3. Wanita hamil atau sedang menyusukan anak yang ingin berbuka puasa kerana bimbangkan kesihatan diri, dibenarkan berbuka dan mesti diganti pada bulan lain.
4. Wanita hamil atau sedang menyusukan anak yang ingin berbuka puasa kerana bimbangkan mudharat berlaku kepada anaknya, mesti qadha´ dan memberi fidyah

Fidyah ialah memberi seorang fakir atau miskin beras sebanyak 620 gram.

Hati menjadi lemah dan lesu dengan tiga perkara:
1. Banyak makan
2. Banyak tidur
3. Banyak bercakap yang tidak berfaedah

Hati disedarkan dengan banyak perkara, antaranya dengan mengingati kematian. Semoga kelemahan hati, ibadah, dan taqwa yang ada pada setiap kita dapat diatasi bermula Ramadhan kali ini. Wallahu a´lam.

Tazkirah Ramadhan 1: Ramadhan

Tazkirah ini dipetik daripada sesi tazkirah harian sempena Ramadhan di
Al Rajhi Bank
pada 24 Ogos 2009 / 3 Ramadhan 1430H


Bertaqwalah kita semua kepada Allah Ta´ala. Ketahuilah bahawa menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim untuk menyembah Allah dan mentaatiNya pada setiap masa sepanjang kehidupannya. Firman Allah Ta´ala yang bermaksud: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga mati mendatangimu” (al-Hajr: 99).

Sesungguhnya Allah Ta´ala telah menjadikan musim-musim ibadah yang berlipat ganda balasan kebaikan melebihi musim-musim lain. Antara musim-musim ibadah yang dinyatakan ialah bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Al-Quran diturunkan pada bulan tersebut yang menjadi petunjuk bagi manusia dan memberikan penerangan dan hidayah.

Alangkah bertuahnya sesiapa yang dapat mengecapi musim atau bulan yang amat bermakna ini. Kehadiran Ramadhan makin dapat kita rasakan setiap kali berlalunya Rejab dan menjelmanya Sya´ban.

Bersyukurlah kita kepada Allah apabila kita dipanjangkan usia untuk menyambut kehadiran Ramadhan. Mohonlah kepadaNya agar kita senantiasa diberikan kekuatan untuk melakukan amalan soleh yang diterima di sisi Allah. Nabi Muhamnmad s.a.w. memperbanyakkan doa kepada Allah apabila datangnya Ramadhan.

Al-Tabarani meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. berdoa apabila tibanya Ramadhan. Apabila tiba bulan Rejab, Baginda bersabda: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya´ban. Dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan”.

Nabi Muhammad s.a.w. memberikan perkhabaran gembira kepada para sahabat setiap kali hadirnya Ramadhan. Ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Salman r.a. bahawa beliau (Salman) berkata: Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir di bulan Sya´ban. Sabda Baginda:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya hadir kepada kamu semua suatu bulan yang besar kelebihannya dan penuh keberkatan. Suatu bulan dianugerahkan padanya Malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu malam. Allah menjadikan puasa pada bulan Ramadhan sebagai satu fardhu kewajipan dan Dia menjadikan Qiyamullail pada bulan tersebut sebagai satu ibadah sunat yang amat dituntut.

Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah pada bulan tersebut dengan melakukan satu kebaikan (amalan sunat), ganjarannya adalah seolah-olah dia menunaikan satu ibadah fardhu. Dan sesiapa yang menunaikan satu ibadah fardhu pada bulan tersebut, ganjarannya seolah-olah dia menunaikan 70 ibadah fardhu.

Ramadhan adalah Bulan Kesabaran. Balasan untuk kesabaran adalah syurga. Ramadhan juga bulan yang dilimpahkan rezeki. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, balasannya adalah keampunan bagi dosa-dosanya dan terselamat dari api neraka. Dan baginya juga balasan pahala orang yang berpuasa tanpa ada kekurangan dari segi nilai puasa tersebut.

Lalu sahabat-sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bukanlah setiap daripada kami mampu memberi makanan kepada orang yang berpuasa.

Sabda Rasulullah sa.w.: Allah memberikan ganjaran pahala ini kepada sesiapa jua yang memberi makanan kepada orang yang berpuasa, walaupun dengan hanya susu yang bercampur air (susu cair dan kurang kualiti), sebiji tamar ataupun seteguk air.

Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum daripada dua kolam, seteguk airnya sudah memadai, bahkan dia tidak lagi merasa dahaga sehinggalah dia masuk syurga.

Ramadhan adalah satu bulan yang mana awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pelepasan dari azab neraka.

Maka perbanyakkanlah melakukan empat perkara. Dua perkara adalah sesuatu yang kamu harapkan keredhaan Allah. Manakala dua perkara lain adalah sesuatu yang kamu amat berhajat kepadanya. Adapun dua perkara yang kamu harapkan keredhaan Allah ialah pensaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan kamu memohon keampunanNya. Manakala dua perkara yang kamu amat berhajat kepadanya ialah kamu mendambakan syurga Allah dan kamu mohon perlindunganNya daripada api neraka”.

Berdasarkan hadis yang dinyatakan ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan kepada kita kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan dan kebaikan-kebaikannya. Baginda menggalakkan kita supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan-amalan soleh sama ada yang wajib mahupun yang sunat.

Rasulullah s.a.w. menklasifikasikan Ramadhan sebagai bulan yang amat besar ertinya dan penuh keberkatan. Dua penklasifikasian ini menggambarkan kelebihan Ramadhan melebihi bulan-bulan yang lain. Setiap saat dan detik di dalam bulan ini digambarkan dengan kebesaran dan keberkatan. Keberkatan dari aspek masa, keberkatan dari aspek amalan dan keberkatan dari aspek balasan pahala.

Secara ringkasnya, antara kelebihan-kelebihan Ramadhan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dapat disimpulkan seperti berikut:

1) Malam Lailatul Qadr merupakan satu malam yang lebih baik daripada seribu malam.

2) Kewajipan berpuasa di siang hari dan disunatkan amalan Qiyamullail di malam hari. Berpuasa di siang bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Sementara amalan di malam hari yang merangkumi solat terawih adalah amat dituntut dan tidak disyariatkan pada bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Imam Ahmad dan Al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang bangun mendirikan solat (terawih atau pun Qiyamullail) bersama-sama imam sehingga imam selesai dan beredar, nescaya dicatatkan baginya balasan ibadah satu malam yang penuh”.

3) Balasan pahala yang berlipat kali ganda. Dari segi ganjaran, amalan-amalan sunat adalah sama nilainya dengan amalan-amalan fardhu. Manakala satu amalan fardhu pula menyamai 70 amalan fardhu. ´Bonus´ ini tidak akan dirasai melainkan hanya pada bulan Ramadhan.

4) Ramadhan adalah bulan kesabaran. Ini bererti menahan nafsu daripada segala syahwat dengan menunaikan ibadah puasa memerlukan tahap kesabaran yang maksimum. Firman Allah Ta´ala yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu diberikan balasan pahala yang tak terhitung” (al-Zumar: 10).

5) Ramadhan adalah bulan kurniaan dan anugerah. Anugerah keampunan dan pelepasan api neraka daripada Allah Ta´ala kepada hamba-hambaNya. Pada masa yang sama, anugerah dan pemberian antara manusia sesama mereka melalui pemberian makanan kepada mereka yang kelaparan, minuman kepada mereka yang dahaga dan seumpamanya.

Seandainya kelebihan-kelebihan ini dihayati sepenuhnya, maka wajarlah kita merasa gembira dengan kehadiran Ramadhan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri senantiasa berdoa untuk mengecapi bulan yang penuh keberkatan ini. Inikan pula kita yang mengaku sebagai umat Baginda, hendaklah mengikuti sunnahnya.

Ya Allah! Sampaikanlah kami kepada Ramadhan, bantulah kami dalam mengerjakan ketaatan di bulan Ramadhan dan terimalah semua amalan kami di bulan Ramadhan.